PASUKAN LUMBA KERETA SOLAR UITM ECOPHOTON
Pada 23 Ogos 2019, satu lagi sejarah terlakar apabila Pasukan UiTM EcoPhoton telah melancarkan kereta solar ketiga yang diberi nama Tigris. Kereta ini dilancarkan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal; Prof. Ir. Dr. Hj. Mohammad Azmi Ayub, Timbalan Dekan HEP; Prof. Madya Dr. M. Azman Yahaya, Timbalan Dekan ICAN; Prof Madya Dr. M. Hussain Ismail, Penasihat Utama; Ir. Ts. Dr. Azli Abd Razak, serta wakil-wakil penaja projek kereta solar ini.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2014, Pasukan Lumba Solar UiTM EcoPhoton daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal menyasarkan untuk membangunkan kenderaan solar elektrik berefisien tinggi untuk bersaing dengan pasukan antarabangsa lain di acara dwitahunan Bridgestone World Solar Challenge.
Penaja utama program ini bermula daripada generasi pertama pada tahun 2014 hingga 2015 dengan sokongan Proton Berhad. Seterusnya, generasi kedua pada tahun 2016 hingga 2017 menyaksikan penglibatan lebih meluas daripada UiTM Holdings, Ranhill, Malakoff, Pekerma, Altair, Proton Berhad, Exedy, Zack Composites, Yayasan Sultan Ibrahim dan Jakel. Pada generasi ketiga, iaitu tahun 2018 hingga 2019, penajaan diteruskan oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), Serba Dinamik, Bridgestone Malaysia, Permintex, Carbon Tech Global, Kacey Legacy dan Mitsuba Motors. Kesinambungan sokongan daripada pelbagai syarikat ini mencerminkan komitmen kukuh industri terhadap pembangunan pendidikan, inovasi dan generasi muda negara.
UiTM EcoPhoton bertanding pertama kali pada cabaran ini sejak 2015. Pasukan ini kekal sebagai wakil tunggal Malaysia dalam perlumbaan tersohor dunia itu sebanyak tiga kali berturut-turut. Perlumbaan merentas pedalaman Australia dari Darwin ke Adelaide sejauh 3,021 km memerlukan pasukan untuk membina kereta solar.
Pada edisi terbaru Bridgestone World Solar Challenge pada tahun 2019, kereta solar dinamakan "Tigris" adalah kereta solar paling ringan dan paling efisien di seluruh Asia Tenggara.
Panel solar yang dipasang ke kereta solar dibuat khusus menggunakan mesin dibangunkan sendiri oleh pasukan dan ia menggunakan sel solar mono-kristal dengan efisien tertinggi, mampu mencapai efisien setinggi 24%. Pek bateri juga dibangunkan secara dalaman menggunakan bateri Lithium-Ion dengan rintangan dalaman terendah bersama Battery Monitoring System terkini yang membolehkan bateri beroperasi dengan selamat dalam keadaan ekstrem.
Warga UiTM dan komuniti setempat boleh melihat sendiri kereta ini di Galeri Tun Abdul Razak (GTAR), yang dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi hingga 5 petang.
Info lanjut mengenai pasukan ini boleh didapati melalui pautan https://library.uitm.edu.my/uitmmemory/acara/pasukan-lumba-kereta-solar-uitm-ecophoton
Comments
Post a Comment