GALERI TUN ABDUL RAZAK TERIMA KUNJUNGAN ILMIAH DARI UNIVERSITAS NEGERI YOGYAKARTA
3 Julai 2025 | 11 Muharam 1447H - Galeri Tun Abdul Razak (GTAR) meraikan kunjungan delegasi dari Fakultas Bahasa, Seni, dan Budaya, Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia. Degelasi seramai 10 orang ini diketuai oleh Prof. Dr. Drs. I Wayan Suardama dan diiringi oleh Hanafi Bin Hanizan, Pelajar SKP (Skim Khidmat Pelajar) dari Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED).
Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) adalah salah satu universiti negeri terkemuka di Indonesia yang terletak di Yogyakarta, sebuah bandar pendidikan di Pulau Jawa. UNY mempunyai reputasi yang kukuh dalam pendidikan, malah turut membangunkan program cemerlang dalam bidang bukan pendidikan. Fakultas Bahasa, Seni dan Budaya (FBSB) merupakan salah satu fakulti utama di universiti ini yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pengembangan dalam bidang bahasa, seni, dan budaya.
Untuk mencapai hasrat untuk menjadi pusat pendidikan tinggi yang unggul dalam menghasilkan pendidik, seniman, dan ilmuwan dalam bidang bahasa dan seni yang profesional, kreatif, dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa, FBSB turut menjalin kerjasama dengan pelbagai universiti luar negara bagi program pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, dan kolaborasi seni dan budaya. Atas sebab itu, kami di Galeri Tun Abdul Razak berasa bangga dan berbesar hati menerima kunjungan mereka hari ini.
Para delegasi yang hadir menunjukkan keterujaan apabila menyaksikan koleksi serta pengkisahan sejarah yang dipamerkan di galeri ini, khususnya koleksi jubah konvokesyen dan pencapaian UiTM di peringkat nasional dan global. Malah, ada yang mengambil inisiatif merakam video sebagai kenang-kenangan.
Sebagai wadah pendidikan dan perkongsian ilmu, Galeri Tun Abdul Razak menjemput warga UiTM serta masyarakat setempat dan antarabangsa untuk mengenali lebih dekat sejarah institusi dan tokoh yang telah membentuk landskap pendidikan di Malaysia.
#uitm
#perpustakaanuitm
#GaleriTunAbdulRazak
#GTAR
Comments
Post a Comment